Paip gas bocor: Usaha JBPM tertangguh akibat laluan sukar
Astro Awani
Januari 10, 2018 15:53 MYT
Januari 10, 2018 15:53 MYT
Laluan berliku dan sistem komunikasi terhad telah menyukarkan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Lawas untuk tiba di loji saluran gas Sabah Sarawak (SSGP) yang dilaporkan mengalami kebocoran salur paip gas di daerah Long Luping berdekataan Lawas.
Ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, pihak bomba mengesahkan pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut sekitar jam 2.20 pagi tadi.
Seramai empat orang anggota telah digerakkan pada jam 9.20 pagi dari Lawas. Tempoh perjalanan ke Long Luping dari Lawas mengambil masa lebih kurang dua jam.
Insiden kebocoran gas itu berlaku sekitar jam 1.20 pagi tadi.
Portal Borneo Post hari ini melaporkan syarikat petroleum negara, Petronas mengesahkan bahawa berlaku kebocoran salur paip gas dan bukannya letupan pada saluran SSGP awal pagi tadi.
Dalam kenyataan ringkas Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, keadaan dilaporkan terkawal selepas pasukan Tindak Balas Kecemasannya (ERT) telah diaktifkan.
Astro AWANI masih menunggu kenyataan rasmi dari Petronas behubung siasatan insiden tersebut.
#bocor
#Borneo Post
#ERT
#gas
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Lawas
#Long Luping
#Pasukan Tindak Balas Kecemasan
#Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan