Paip gas bocor: Lima injap saluran gas ditutup - Bomba
Astro Awani
Januari 10, 2018 04:41 MYT
Januari 10, 2018 04:41 MYT
Lima injap saluran gas Sabah Sarawak (SSGP) yang bocor pada jam 2.24 pagi Rabu di Long Luping, Lawas, Sarawak sudah ditutup bagi mengelak kebocoran gas berlarutan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Zaki Hussain, turut mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kejadian kecemasan membabitkan penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau turut percaya laporan awal yang diterima mengenai letupan membabitkan saluran berkenaan hanya salah faham.
“Pihak bomba mengambil masa selama enam jam untuk tiba di lokasi kejadian. Ia termasuk perjalanan kaki selama sejam menaiki bukit untuk sampai ke kawasan berkenaan,” jelas Zaki.
Selain empat anggota bomba, operasi berkenaan disertai 15 pegawai daripada Petronas dan seorang wakil pegawai daerah.
“Kita hanya buat pemantauan di kawasan berkenaan kerana ia tidak melibatkan kes kebakaran dan pihak Petronas akan buat siasatan ke atas kebocoran berkenaan.”
Semalam, Petronas menolak laporan awal yang menyatakan wujud kejadian letupan gas di saluran SSGP di Long Luping.
Dalam kenyataan ringkas Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan menyatakan keadaan berjaya dikawal selepas pasukan Tindak Balas Kecemasannya (ERT) diaktifkan.
“Kebocoran itu tidak meninggalkan impak terhadap penduduk dan persekitaran kawasan tersebut setakat ini dan siasatan lanjut masih diteruskan," menurut kenyataan itu.
#bocor
#bom
#bomba
#kebakaran
#kebocoran
#kebocoran gas
#kemalangan
#Lawas
#letupan
#Limbang
#Long Luping
#minyak dan gas
#operasi
#Petronas
#Sarawak
#siasatan