Pahang umum bantuan khas kewangan satu bulan setengah gaji untuk penjawat awam
Bernama
Disember 4, 2023 13:55 MYT
Disember 4, 2023 13:55 MYT
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,000 kepada setiap penjawat awam negeri yang akan dikreditkan tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2024 dengan tema 'Pahang Prihatin, Rakyat Makmur' berkata, bayaran berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM39.6 juta.
"Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus menerus memberikan sokongan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah ini.
"Sikap profesionalisme dan saling menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Pahang kekal maju dan makmur," katanya di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy juga berharap pemberian bantuan khas itu menjadi motivasi kepada penjawat awam Pahang untuk terus bekerja dengan baik dan meningkatkan pencapaian pada masa hadapan.
-- BERNAMA