Pahang timbang luluskan 200 lot tapak rumah

Bernama
Disember 12, 2012 11:54 MYT
Kerajaan Pahang menimbang untuk meluluskan 200 lot tapak rumah baharu kepada penduduk di Kampung Sungai Jerik, dekat sini tahun depan.
Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata keutamaan tapak rumah itu adalah untuk mereka yang tidak memiliki rumah sendiri atau tanah, khususnya generasi muda.
"Bagaimanapun kerajaan negeri akan mengadakan siasatan serta perbincangan dengan pihak-pihak terbabit sebelum pemberian lot tapak rumah tersebut diluluskan," katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Dalam pada itu Shahaniza berkata pejabat tanah dan daerah telah diminta mengenal pasti tanah milik kerajaan yang kosong di daerah masing-masing untuk pembinaan lebih banyak perumahan kepada rakyat di negeri ini.
Katanya kerajaan juga akan membina lebih 100 buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di daerah Bera tahun depan.
Ini termasuk 10 unit rumah yang akan diperuntukkan kepada masyarakat Orang Asli di daerah itu.
#Datuk Shahaniza Shamsuddin #Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul #lot tapak rumah #Pahang
;