Pahang tawar rumah kepada 8 beradik yatim piatu akibat COVID-19

Bernama
Julai 24, 2021 19:05 MYT
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kisah lapan beradik itu yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tiga hari akibat wabak COVID-19. - Gambar/ Sinar Harian
KUANTAN: Kerajaan Pahang hari ini menawarkan untuk membina Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma kepada lapan beradik yang kematian ibu bapa mereka akibat COVID-19 minggu lepas.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tapak rumah yang dicadangkan bagi pembinaan kediaman bernilai RM65,000 itu terletak di kampung asal arwah ibu mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut, dekat sini.
"Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini, yang sulung Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun yang kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor.
"Demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini, dan ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
COVID-19 | Ujian lapan beradik rentetan kehilangan ibu bapa
BACA: 8 beradik yatim piatu akibat COVID-19 dibantu
BACA: Lapan beradik yatim piatu akibat COVID-19 terima bantuan
Katanya selain itu, Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan keluarga itu sebagai penerima bantuan bulanan.
Wan Rosdy berkata pegawainya telah menghubungi anak sulung daripada lapan beradik itu dan berharap tawaran berkenaan akan diterima keluarga itu.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kisah lapan beradik itu yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tiga hari akibat wabak COVID-19.
Ketua keluarga lapan beradik itu Benyajeed Bernie disahkan meninggal dunia pada 16 Julai manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian.
Kisah lapan beradik itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan Kementerian Pertahanan bersetuju untuk mengambil lapan beradik itu sebagai anak angkat kepada Boustead Holdings Berhad (Boustead) yang merupakan anak syarikat di bawah kementerian itu.
-- BERNAMA
#8 beradik #lapan beradik #yatim piatu #kehilangan #ibu bapa #COVID-19 #Rawang #bantuan #kakak #abang #anak sulung #Pahang #rumah
;