Pahang sasar 70 peratus penduduk divaksin sebelum Mac 2022

Astro Awani
Februari 26, 2021 19:23 MYT
Wan Rosdy antara 115 individu termasuk Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Dr Sallehuddin Ishak dan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan dos pertama vaksin itu hari ini. - Foto Astro AWANI
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi individu terawal di Pahang yang menerima suntikan vaksin PfizerBioNTech, dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Wan Rosdy antara 115 individu termasuk Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Dr Sallehuddin Ishak dan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.
Katanya, kerajaan negeri Pahang mensasarkan 70 peratus dari keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri itu dapat divaksin menjelang Februari tahun depan sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19.
“Fasa pertama lebih kurang 32,000 orang yang akan disuntik kemudian diikuti lebih kurang 360,000 orang dan fasa ketiga seramai 700,000 orang.
"Sasaran kerajaan negeri Pahang melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang ialah seramai 1.2 juta rakyat di negeri Pahang ini akan disuntik. Kita ada lebih kurang 1.7 juta jadi sasaran kita kepada 1.2 juta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar
Kelmarin, Pahang menerima bekalan 23,400 dos vaksin COVID-19 untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Sebanyak 23,400 dos dibekalkan kepada lima pusat iaitu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Lipis, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS) Temerloh, Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Bentong.
Berdasarkan rekod, HTAA menerima 9,360 dos, Hospital Lipis (4,680 dos), HosHAS (4,680 dos), Hospital Muadzam Shah (3,510 dos) dan Hospital Bentong (1,170 dos).
Sebanyak 69 pusat suntikan telah ditetapkan di seluruh negeri Pahang, antara lain melibatkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan jabatan dan agensi kerajaan. Jumlah pemberi suntikan atau vaksinator yang terlibat pula adalah seramai 578 orang.
#vaksin #menteri besar pahang #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #pandemik #Pahang #Wan Rosdy Wan Ismail
;