Pahang sasar 13 juta pelancong pada 2023

Bernama
Februari 2, 2023 06:30 MYT
Leong beramah mesra dengan para hadirin ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Pahang di Kuantan semalam. -- fotoBERNAMA
KUANTAN: Kerajaan Pahang menyasarkan kedatangan 13 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini pada 2023, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man.
Beliau berkata pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai berikutan pelbagai promosi telah dan akan dilaksanakan sepanjang tahun bagi menarik pelancong.
"Pahang mempunyai 11 daerah dan kesemuanya mempunyai destinasi menarik untuk dikunjungi. Bagi tahun ini beberapa lokasi baharu akan diketengahkan antaranya Mossy Forest di Cameron Highlands dan Geopark di Lipis
"Pada tahun ini saya yakin angka itu akan meningkat memandangkan pelancong antarabangsa dapat datang ke negeri ini sejak awal tahun lagi berbanding tahun lepas apabila pintu sempadan hanya dibuka pada April," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Penggiat Pelancongan Pahang di sini semalam, yang turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim.
Selain itu, Leong berkata acara antarabangsa yang akan diteruskan pada tahun ini ialah Pertandingan Mengenal Burung Bukit Fraser, Cabaran Antarabangsa Memburu Ikan Layaran, Cabaran Antarabangsa Dayung Laut Pahang dan terbaharu Festival Kanu Antarabangsa Tasik Bera.
"Acara ini adalah alat untuk mempromosikan produk sedia ada misalnya bila ada cabaran dayung laut kita dapat ketengahkan pantai di Pahang, manakala menerusi pertandingan mengenal burung pelancong dapat lihat alam semula jadi yang kita miliki," katanya.
Leong berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan promosi secara dalam talian selain mengiklankan tempat menarik menerusi sisipan majalah yang terdapat di dalam pesawat Malaysia Airlines bermula April ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan pada tahun lepas Pahang merekodkan kedatangan lebih 10.1 juta pelancong dengan perbelanjaan pelancongan sebanyak RM9.14 billion berbanding pada 2021 hanya dua juta pelancong dan perbelanjaan pelancongan RM1.9 billion.
Katanya destinasi pelancongan kategori tanah tinggi seperti Bukit Fraser, Genting Highlands dan Cameron Highlands merekodkan kira-kira 6.9 juta pelancong, diikuti tarikan pantai serta pulau antaranya di Kuantan, Rompin dan Pekan dengan 2.5 juta pelawat, selain 706,000 individu berkunjung ke kawasan alam semula jadi di Temerloh, Maran, Lipis, Bentong dan Bera.
-- BERNAMA
#13 juta pelancong #domestik dan antarabangsa #Leong Yu Man #Pahang
;