Pahang rekod 5.9 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan RM5.3 bilion

Bernama
September 11, 2024 18:44 MYT
Destinasi pelancongan seperti Pulau Tioman kekal relevan dan menjadi tumpuan dengan jumlah kedatangan pelancong yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. - Gambar fail
KUANTAN: Pahang merekodkan 5.9 juta kedatangan pelancong dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM5.3 bilion dalam tempoh enam bulan bermula Januari tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man.
Beliau berkata angka berkenaan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 15.74 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas iaitu 5.1 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM4.5 bilion.
Dalam tempoh sama, katanya Pahang turut mencatatkan Kadar Purata Tempoh Penginapan Tertinggi di Malaysia dengan kadar 75 peratus sekali gus menunjukkan peningkatan yang positif iaitu sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun lepas.
"Kadar Purata Penginapan ini dinilai lebih daripada 36,000 jumlah bilik penginapan berdaftar di Pahang hasil maklumat daripada Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Leong berkata menurut data Tourism Malaysia, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Pahang merekodkan jumlah kedatangan penginap hotel tertinggi dalam kalangan pelancong tempatan iaitu seramai 5.92 juta diikuti Kuala Lumpur (4.4 juta), Johor (3.7 juta) Selangor (2.8 juta) dan Pulau Pinang ( 2.3 juta).
Katanya lima daerah di negeri ini menunjukkan jumlah kedatangan pelancong yang amat positif iaitu Bentong, Kuantan, Cameron Highlands, Temerloh dan Rompin.
"Destinasi pelancongan seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Bandar raya Kuantan kekal relevan dan menjadi tumpuan dengan jumlah kedatangan pelancong yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun," katanya.
-- BERNAMA
#Pahang #kedatangan pelancong #industri pelancongan #lokasi menarik
;