Pahang, Pulau Pinang tidak akan kembali ke PKP Fasa 1 - Dr Adham

Astro Awani
Julai 16, 2021 11:48 MYT
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pendekatan PKP bersasar akan dilaksanakan jika jangkitan COVID-19 melebihi jangkaan di dua negeri itu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan negeri Pahang dan Pulau Pinang kekal berada di Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 dan tidak akan kembali ke Fasa 1.
Bagaimanapun, jelas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pendekatan PKP bersasar akan dilaksanakan sekiranya jangkitan COVID-19 melebihi jangkaan di dua negeri terbabit.
"Pahang dan Pulau Pinang kita telah menetapkan nilai ambang 12.2 kes per 100,000 populasi untuk indikator pertama, yang kedua ialah kapasiti respons terutama ICU dan ketiga, vaksinasi.
"Kita telah buat keputusan tidak ada kembali ke PKP Fasa 1, apa yang kita laksanakan jika kes melebihi apa yang dijangkakan di Pahang dan Pulau Pinang iaitu tujuh hari ke belakang, kita akan menggunakan PKP bersasar iaitu untuk kawasan dan lokaliti sahaja sebab kita yakin boleh bendung dan memutuskan rantaian melalui kaedah tersebut," katanya dalam sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin melalui aplikasi Zoom pada Jumaat.
Dalam masa sama, KKM juga yakin kaedah vaksinasi akan dapat menurunkan kes jangkitan COVID-19 di negeri itu.
"Vaksinasi akan dipertingkat dan kami yakin kes jangkitan akan turun selepas lebih banyak vaksin diberikan kepada negeri terjejas tadi," ujarnya.
#Datuk Seri Dr Adham Baba #Menteri Kesihatan #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PKP #PICK #COVID-19 #jangkitan #vaksin #perintah kawalan pergerakan #Fasa 1 #Fasa 2 #fasa satu #Fasa dua #Khairy Jamaluddin