Pahang peruntuk RM20 juta bagi 'Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih'
Hasimi Muhamad
Jun 19, 2023 22:12 MYT
Jun 19, 2023 22:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang meneruskan program inisiatif Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih dengan tambahan peruntukan kepada RM20 juta pada tahun ini berbanding RM10 juta pada tahun lalu, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Jelasnya, inisiatif yang memasuki tahun kedua sejak dilancarkan pada 18 Januari 2022 di Daerah Rompin, dijangka memanfaat 30,600 penerima.
"Selain warga emas, kategori baharu yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini adalah orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang.
"Setiap penerima akan mendapat kad kesihatan dengan nilai RM500 untuk digunakan bagi rawatan-rawatan prosedur am dan rawatan awal di 70 buah klinik panel yang telah berdaftar setakat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Wan Rosdy, penerima juga akan menikmati perlindungan rawatan pesakit luar seperti demam, batuk, selesema dan sakit badan serta pemeriksaan kesihatan asas, antaranya ujian darah.
Selain itu, beliau menambah Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih melayakan penerima mengambil vaksinasi seperti pneumococcal, meningococcal, influenza, serta hepatitis B.
"Pada masa sama, mereka boleh melakukan x-ray dan 'swab test' bagi yang mempunyai simtom virus influenza dan COVID-19.
"Keperluan bagi setiap rawatan ini adalah atas khidmat nasihat doktor yang merawat sahaja," ujarnya.
Beliau berkata, Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih merupakan salah satu inisiatif bantuan kebajikan yang disediakan Kerajaan Negeri hasil pendapatan negeri yang dipulangkan secara terus kepada rakyat di bawah Program "Kebanggaan Pahang" atau "Pahang Pride".
Dalam pada itu, Wan Rosdy menjelaskan, pihaknya pada tahun ini turut memperkenalkan platform baharu kepada penerima kad kesihatan tersebut iaitu aplikasi mudah alih 'Pahang Pride Kasih'.
"Aplikasi ini adalah nilai tambah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada sistem portal www.pahangpridecare.com sedia ada.
"Melalui ‘mobile app’ Pahang Pride Kasih ini, penerima boleh menyemak senarai klinik panel, rekod rawatan, jenis ubatan, serta baki semasa penggunaan kad yang telah digunakan.
"Sekiranya penerima mempunyai kekangan untuk mengakses aplikasi mudah alih ini, waris atau penjaga boleh mendaftar ke akaun penerima. Hanya satu pendaftaran akaun sahaja dibenarkan bagi setiap penerima," jelasnya..
Selain itu, lima lagi inisiatif bantuan melalui Program Kebanggaan Pahang adalah Pahang Pride Kid; Pahang Pride Student; Pahang Pride Orang Asli; Pahang Pride Athlete; dan Pahang Pride Achiever.