Pahang perkenal Astro-tourism sebagai produk baharu pelancongan
Astro Awani
Mac 31, 2022 18:54 MYT
Mac 31, 2022 18:54 MYT
KUANTAN: Satu lagi produk pelancongan baharu dilancarkan oleh Tourism Pahang dikenali sebagai Pelancongan Astro atau Astro Tourism, bakal meletakkan negara di peta 'dark sky park' dunia.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, 'Pelancongan Astro' adalah pelancongan berdasarkan minat khusus pada aktiviti berkaitan langit seperti pemerhatian langit dan astrofotografi, dan ia juga diklasifikasikan sebagai pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Tambah Mohd Sharkar, negeri Pahang mempunyai banyak kawasan yang paling kurang pencemaran cahaya dan keadaan itu paling sesuai untuk dijadikan produk tarikan pelancong.
"Sebab itulah kita telah mengambil pendekatan iaitu untuk kita memasarkan produk ini iaitu produk dark skies ataupun langit gelap ini, dan bagi pencinta-pencinta alam sekitar dan alam semula jadi ini, sudah pasti mereka akan tidur semalam di negeri Pahang.
"Contohnya, dia pergi ke Taman Negara... siangnya dia mungkin dia akan pergi mendaki dan sebagainya, manakala pada sebelah malam aktivitinya adalah untuk melihat bintang-bintang dan cakerawala di langit,"
ujr beliau.
Pelancong boleh menikmati satu percutian menggabungkan aktiviti melihat bintang-bintang di langit malam, melihat planet dan mengalami sendiri fenomena-fenomena astronomi tertentu seperti gerhana matahari atau bulan.
Sehingga Januari 2022, terdapat 195 lokasi yang diperakui di dunia sebagai kawasan dark sky park atau kawasan langit gelap dan tidak ada satupun dark sky park ini ada di garis Khatulistiwa.