Pahang negeri ketiga terendah kenakan cukai tanah

Norfarhiza Mohd Atar
Ogos 9, 2022 05:15 MYT
Wan Rosdy berkata, kadar cukai yang rendah diharap dapat menarik para pelabur dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negeri Pahang. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Kadar cukai tanah khususnya bagi kategori perindustrian yang dikenakan Kerajaan Negeri Pahang adalah yang ketiga terendah berbanding negeri lain dalam negara ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadar cukai yang dikenakan bagi kategori perindustrian di Pahang adalah antara RM0.50 dan RM0.70 semeter persegi, berbanding negeri lain pada kadar RM3.80 semeter persegi.
Menurutnya, kadar cukai yang rendah ini diharap dapat menarik para pelabur dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negeri.
“Saya berharap dengan kadar cukai yang rendah ini ia dapat menarik kehadiran para pelabur untuk menanam modal di negeri ini, sekali gus mampu melonjak ekonomi untuk faedah rakyat dan negeri Pahang.
“Ia juga diharap mampu menangkis dakwaan dan tohmahan kononnya kadar cukai tanah di Pahang adalah tinggi.
“Cukai ini dikutip bertujuan untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, Kerajaan Pahang juga memperkenalkan Cukai Khas bagi kategori lapangan terbang dan pelabuhan di negeri ini.
“Baru-baru ini, kita telah memperkenalkan Cukai Khas bagi kategori Lapangan Terbang dan Pelabuhan yang berkadar RM0.40 semeter persegi sahaja.
"Sebelum ini, Kerajaan Pahang mengenakan Cukai Perindustrian bagi kategori Lapangan Terbang dan Pelabuhan, namun demi menjadikan perniagaan dan pelaburan di Negeri Pahang kekal kompetitif dan berdaya saing, Cukai Khas ini diwujudkan,” katanya.
Dalam pada itu Wan Rosdy menjelaskan, beliau bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 antara MITI dan Kerajaan Negeri Pahang.
Mesyuarat tersebut menyentuh banyak aspek mengenai pembangunan perindustrian, perdagangan dan pelaburan di peringkat negeri.
#Pahang #cukai tanah #Wan Rosdy Wan Ismail #Cukai Khas Lapangan Terbang dan Pelabuhan
;