Pahang mula dilanda banjir, 171 mangsa ditempatkan di empat PPS

Norfarhiza Mohd Atar
Mac 1, 2023 18:51 MYT
Anggota APM Maran menghantar bantuan keperluan asas bencana serta kit makanan kepada mangsa terlibat di Balai Raya Jengka 6 pada Rabu. -APM
KUANTAN: Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila seramai 171 mangsa daripada 49 keluarga berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri ini sehingga jam 5 petang pada Rabu.
Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua daerah terjejas dalam banjir kali ini melibatkan Rompin dan Maran.
"Tiga PPS dibuka di Rompin iaitu di Balai Raya Kampung Rekoh menempatkan 122 mangsa, Dewan Orang Ramai Bukit Ibam (35), dan Balai Raya Bandar Perwira Jaya (7).
"Sementara itu, di Maran, satu PPS dibuka di Balai Raya Jengka 6 menempatkan tujuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), daerah Rompin dan Pekan menerima hujan lebat berterusan (tahap bahaya) sejak Selasa dan dijangka berterusan hingga Khamis, manakala hujan lebat berterusan (tahap buruk) berlaku di Jerantut, Maran, Kuantan dan Bera.
#banjir #Jabatan Kebajikan Masyarakat #PPS #Balai Raya Kampung Rekoh #Dewan Orang Ramai Bukit Ibam
;