Pahang lulus tambahan rizab penempatan Orang Asli Bateq

Bernama
Jun 17, 2021 08:04 MYT
WAN ROSDY: Keputusan ini diharapkan dapat mencegah penerokaan secara haram oleh pihak luar ke kawasan penempatan tersebut. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan tambahan rizab penempatan seluas 7.014 hektar bagi Orang Asli suku Bateq di Kampung Benchah Kelubi dan Kampung Teluk Gunung di Mukim Batu Yon, Lipis bagi melindungi tanah masyarakat berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kelulusan itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam, yang dibuat mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara susulan permohonan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Lipis.
"Permohonan melibatkan penempatan Orang Asli suku Bateq yang sudah lama menetap di situ melibatkan kawasan seluas dua hektar yang menjadi penempatan 163 orang Asli yang mempunyai 20 rumah yang dibina dengan bantuan kerajaan.
"Tanah itu juga telah diusahakan sebagai dusun dan pokok getah. Keputusan ini diharapkan dapat mencegah penerokaan secara haram oleh pihak luar ke kawasan penempatan tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata tindakan itu juga sebagai mengiktiraf hak, memelihara dan melindungi tanah serta memberikan kelegaan kepada Orang Asli suku Bateq di situ, supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan selesa.
-- BERNAMA
#Orang Asli #Bateq #rizab penempatan #Kampung Benchah Kelubi #Kampung Teluk Gunung #kerajaan negeri #Pahang #Menteri Besar #Wan Rosdy Wan Ismail #Taman Negara