Pahang fatwa pengikut GISB menyeleweng dan sesat

Bernama
Oktober 5, 2024 18:40 MYT
Asmadi berkata ketetapan itu dipersetujui jawatankuasa berkenaan pada mesyuarat khas yang bersidang Rabu lepas. - Gambar JAKIM
KUANTAN: Jabatan Mufti Pahang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang bersetuju memutuskan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) sebagai menyeleweng dan sesat.
Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata ia berdasarkan dua kepercayaan yang didakwa berlaku dalam kumpulan berkenaan iaitu meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah dibawa oleh al-Arqam yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.
"Pengikut GISH juga mempercayai bahawa pengasas al-Arqam Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia pada 2010 tidak mati sebaliknya ghaib.
"Keputusan ini meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran tersebut di atas dan termasuk apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau mana-mana kumpulan yang telah wujud atau akan diwujudkan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Asmadi berkata ketetapan itu dipersetujui jawatankuasa berkenaan pada mesyuarat khas yang bersidang Rabu lepas, dengan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan supaya ia diedarkan kepada umum.
Jawatankuasa itu juga memutuskan sistem ekonomi yang dibangunkan pengikut GISB tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.
Sehubungan itu, semua pihak berkuasa perlu bekerjasama bagi merangka serta melaksanakan pemulihan serta pemantauan kepada pengikut GISB.
"Ini termasuklah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Negeri.
-- BERNAMA
#PDRM #GISB #sesat #sistem ekonomi
;