Pahang catat hasil negeri RM911 juta setakat Sept - Wan Rosdy

Bernama
September 21, 2023 14:15 MYT
Wan Rosdy berkata selain kutipan hasil yang tinggi, kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan hutang daripada RM3.3 bilion sebelum ini kepada sekitar RM930 juta ketika ini. - Foto Bernama
BENTONG: Kerajaan Pahang berjaya mencatat kutipan hasil negeri berjumlah RM911 juta setakat September tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM600 juta digunakan untuk perbelanjaan kos tetap kerajaan negeri termasuk gaji kakitangan awam, manakala RM311 juta dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan penduduk negeri berkenaan.
Beliau berkata selain kutipan hasil yang tinggi, kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan hutang daripada RM3.3 bilion sebelum ini kepada sekitar RM930 juta ketika ini.
"Ini prestasi yang kita dah tunjukkan, ada yang cakap Pahang ini negeri sekular, hakikatnya kita paling terkedepan berbanding negeri Pantai Timur lain, hasil negeri tinggi dan Islam juga berkembang dengan baik di sini.
"Buktinya (perkembangan Islam) di Pahang, hingga kini kita sudah ada 28 Maahad Tahfiz dan kita akan bina dua lagi maahad, satunya di Rompin. Kita juga ada UniPSAS (Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah), ramai anak negeri kita juga lanjut pelajaran di Al-Azhar dan Jordan selain selepas ini kita akan hantar ke Maghribi pula," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2023 di Simpang Pelangai di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata rakyat boleh menilai pencapaian memberangsangkan dicatatkan kerajaan negeri.
"Saya bimbang kita prestasi baik, tetapi ketika ini prestasi itu tidak dijadikan ukuran untuk rakyat membuat keputusan dan pilihan, banyak terpengaruh dengan sentimen dan persepsi yang tidak berasaskan fakta dan kadangkala fitnah.
"Di Facebook terutamanya, jangan mudah terpengaruh kerana kalau terpengaruh, negara dan negeri akan alami masalah suatu hari nanti, pelabur tak mahu masuk, ekonomi jatuh, dan ini masalah besar untuk jangka masa panjang," katanya.
-- BERNAMA
#kutipan hasil #Kerajaan negeri Pahang #Wan Rosdy Wan Ismail #Bentong
;