Pahang cadang wujud pusat pemindahan banjir tetap

Hakim Rahman
Disember 23, 2021 11:18 MYT
Wan Rosdy ketika melawat mangsa banjir di PPS SMK Seri Semantan. - Astro AWANI
MENTAKAB: Kerajaan Negeri Pahang sedang mengenalpasti beberapa lokasi untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan tetap (PPT) yang lengkap dengan barangan keperluan asas.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan bagi mewujudkan pusat ini bagi mengelakkan masalah kekurangan keperluan asas dan memberi keselesaan kepada mangsa banjir.
Katanya rancangan untuk mewujudkan PPT itu dibuat beberapa bulan lepas memandangkan Pahang antara negeri yang sering dilanda banjir.
“Kita dalam rancangan wujudkan sekurang-kurangnya dua penempatan dengan kemudahan asas yang tetap seperti surau, tandas yang sempurna, dewan makan dan dilengkapi dengan pelbagai barangan keperluan asas, jadi apabila mereka berpindah semua sudah ada.
“Di situ nanti kita juga akan meletakkan barang-barang yang tidak rosak seperti toto dan tikar serta barangan lain yang sedia digunakan apabila mangsa berpindah.
“Sekarang ini kita dalam proses kenalpasti lokasi yang selamat daripada banjir kerana kita tidak mahu penempatan ini dinaiki air apabila berlakunya banjir seperti di beberapa buah PPS sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Beliau ditemui Astro AWANI selepas melawat mangsa banjir di PPS SMK Seri Semantan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai respon bencana banjir, beliau akui berlaku sedikit kelewatan di peringkat awal berikutan keadaan banjir luar jangka.
“Keseluruhan agak baik cuma di peringkat awal berlaku kelewatan dan ini tidak dapat dielak kerana banjir berlaku serentak dan ada tempat yang kita tidak jangka berlaku seperti di Bentong tetapi keadaan itu semakin baik malah operasi menyelamat juga dijalankan hampir 24 jam di lokasi-lokasi terjejas,” katanya lagi.
Jelasnya kelewatan memberikan bantuan itu disebabkan barangan keperluan asas yang diletakkan di pangkalan hadapan berdepan kesukaran akses berikutan beberapa laluan yang ditengelami air.
#banjir #mangsa #PPS #bantuan
;