Pahang benar acara akad nikah secara bersyarat
Bernama
April 26, 2020 12:44 MYT
April 26, 2020 12:44 MYT
Kerajaan negeri Pahang memutuskan untuk membenarkan permohonan mengadakan acara akad nikah namun secara bersyarat, yang sebelum ini ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka yang berhasrat mengadakan acara itu perlu melengkapkan borang permohonan khas secara dalam talian di https://emunakahat.pahang.gov.my/ sebelum diemelkan ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
PAID seterusnya akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi mengesahkan pihak yang akan menghadirinya bukan daripada senarai pesakit dalam siasatan (PUI) atau pesakit dalam pemantauan (PUS) kerana mereka dilarang berada dalam acara itu.
"Keutamaan diberikan kepada bakal pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin daripada PAID dan acara akad nikah hanya boleh dilakukan di PAID atau tempat yang difikirkan sesuai oleh kadi daerah mengambil kira faktor keselamatan dan pematuhan tatacara yang disyaratkan.
"Borang permohonan yang lengkap mengambil masa selama tujuh hari untuk diproses dan pemohon akan dimaklumkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa acara akan berlangsung," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, acara itu juga hanya boleh dihadiri tidak lebih lapan orang termasuk jurunikah, dua saksi yang ditentukan kadi, wali dan pasangan pengantin dengan tempoh masa maksimum akad nikah berlangsung selama 20 minit serta tiada upacara berkaitan adat dibenarkan.
Mereka yang hadir juga perlu mematuhi langkah keselamatan seperti memakai penutup mulut dan hidung, melepasi saringan suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengamalkan jarak sosial serta memberi alamat dan nombor telefon terkini kepada kadi.
"Kadi daerah atau wakilnya berhak menangguhkan acara jika pihak terlibat tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dan PAID juga akan merakam gambar acara untuk laporan dan rekod jika berlaku perkara berbangkit pada masa hadapan," katanya.
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum ini memutuskan supaya semua urusan akad nikah ditangguhkan sepanjang PKP yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 dengan fasa keempat perintah itu dijadualkan tamat pada 12 Mei ini. - BERNAMA
#akad nikah bersyarat
#COVID19
#dalam talian
#Jabatan Agama Islam Pahang
#Kerajaan negeri Pahang
#PAID
#Pejabat Agama Islam Daerah
#Pengantin
#perintah kawalan pergerakan