Pahang bakal anjur pertandingan kanu bertaraf antarabangsa
Mohd Zalani Md Atan
Januari 18, 2022 09:27 MYT
Januari 18, 2022 09:27 MYT
KUANTAN: Pahang bakal menganjurkan satu pertandingan Kanu bertaraf Antarabangsa sebagai satu lagi produk pelancongan yang baharu pada tahun ini.
Pertandingan yang dinamakan 'Pahang Ocean Canoe International Challenge' atau Cabaran Antarabangsa Kanu Lautan Pahang itu dijangka dapat diadakan pada Ogos ini bersempena bulan Kemerdekaan sebagai satu usaha menjadikan negeri ini destinasi sukan air yang dikenali dunia.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata Pahang mempunyai persisir pantai sepanjang 240 kilometer dan kerajaan negeri mahu menjadikannya aset tarikan baharu kepada dunia.
Tambah Mohd Sharkar kerajaan negeri kini membentuk satu pasukan teknikal untuk melakukan kajian terperinci bagi memastikan pertandingan itu diiktiraf oleh badan antrabangsa.
"Kita akan adakan pertandingan kanu yang diiktiraf oleh Persatuan Kanu Sedunia dan sebagainya. Kita tidak mahu anjurkan pertanding syok sendiri, itu sebab ia mesti diiktiraf.
"Perkara ini mengambil masa sikit untuk kita kaji selidik dan melihat apa yang kami harus lakukan. Kami mempunyai pakar teknikal dan juga pakar dalam sukan kanu ini.
"Sukan kanu ini bukan sesuatu yang sering diamalkan di Malaysia, bukan seperti lumba perahu atau lumba bot," katanya.
Mohd Sharkar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran ''This Is Pahang 2022 - Unlimited' serta Majlis Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang pada Isnin malam.
Sebanyak 111 anugerah pelbagai kategori disampaikan sebagai menghargai peranan kepada pemain industri pelancongan serta penggiat seni dan budaya.
Tambah Mohd Sharkar pada tahun 2019 Pahang merekodkan kedatangan pelancong seramai 13.9 juta orang dengan jumlah perbelanjaan sebanyak Rm15 bilion namun merosot kepada 7 juta pada 2020 dan 1 juta pada 2021 akibat wabak COVID-19 di mana aktiviti pelancongan terpaksa dihentikan.
Namun setelah pintu sempadan negeri dibuka dan destinasi pelancongan Pahang kembali menjadi pilihan pelancong tempatan, kerajaan negeri menjangkakan kunjungan 8 juta pelancong pada tahun 2022.