Pahang alu-alukan tawaran Vincent Tan bina lapangan terbang di Pulau Tioman

Bernama
Jun 8, 2018 10:09 MYT
Kerajaan negeri Pahang mengalu-alukan kesediaan Tan Sri Vincent Tan untuk membina lapangan terbang di Pulau Tioman dengan menggunakan perbelanjaan sendiri. -Gambar fail
Kerajaan negeri Pahang mengalu-alukan kesediaan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan untuk membina lapangan terbang di Pulau Tioman dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri,Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri perlu mendengar cadangan penuh daripada tokoh perniagaan terkenal itu sebelum memberi kata putus.
"Kerajaan negeri mengamalkan sikap mesra pelabur dan sentiasa mengalu-alukan jika ada pihak yang berminat, namun kita perlu melihat dan memperincikan cadangan yang dibawa secara holistik dan menyeluruh.
"Kita tahu pembinaan lapangan terbang melibatkan kos yang tinggi jadi sudah pasti kita mahu mendengar terlebih dahulu cadangan beliau dan apa sumbangan yang perlu daripada kerajaan negeri," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Sharkar mengulas laporan media hari ini, bahawa pengasas konglomerat itu telah menyatakan kesediaan untuk membina lapangan terbang dengan perbelanjaan sendiri di pulau peranginan itu yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.1 bilion hingga RM1.2 bilion.
Tan, yang juga pemilik kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City, juga menambah amalan menggunakan perbelajaan sendiri juga bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan yang berada dalam keadaan tidak begitu baik.
Lapangan terbang itu, jika dilaksanakan menurut Tan, akan diuruskan oleh kerajaan namun pihaknya memerlukan persetujuan dan tanah bagi urusan pembinaan tersebut.
Mohd Sharkar berkata walaupun gembira dengan tawaran itu, kerajaan negeri tetap meletakkan isu alam sekitar sebagai kepentingan paling utama dalam isu pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman.
"Cadangan pembinaan lapangan terbang di situ sebenarnya sudah lama diutarakan, namun masih tidak dilaksanakan kerana isu alam sekitar. kita perlu pastikan kaedah yang digunakan dan lapangan terbang itu sendiri tidak memberi kesan (kepada alam sekitar).
"Kita perlu dapatkan pandangan dan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Laut dan juga pandangan mereka yang terlibat," katanya.
Untuk rekod, cadangan untuk membina lapangan terbang di Pulau Tioman sudah diutarakan sejak tahun 2003.
Mohd Sharkar menambah pihaknya juga perlu mendapatkan kepastian daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) jika mereka berminat dan mempunyai peruntukan untuk membina lapangan terbang tersebut sebelum memberi peluang kepada pihak lain.
Beliau juga mengakui pembinaan lapangan terbang di pulau itu, jika dilaksanakan membolehkan pelancong berkunjung sepanjang tahun kerana perkhidmatan pengangkutan feri ke situ dihentikan pada setiap musim tengkujuh.
-- BERNAMA
#Kumpulan Berjaya #lapangan terbang #Mohd Sharkar Shamsuddin #Pulau Tioman #Vincent Tan