Pahang akan tubuh Lembaga Durian negeri
Norfarhiza Mohd Atar
Jun 14, 2022 19:13 MYT
Jun 14, 2022 19:13 MYT
LIPIS: Kerajaan negeri Pahang akan menubuhkan Lembaga Durian Pahang (LDP) dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran selain memberi jaminan kualiti serta harga bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, inisiatif penubuhan LDP bertujuan membantu pekebun meningkatkan kemahiran pengurusan tanaman.
Katanya, ia sekali gus akan meningkatkan hasil setiap musim bagi memenuhi jumlah permintaan yang semakin tinggi.
"Penubuhan LDP ini akan diteliti terlebih dahulu oleh penasihat undang-undang negeri selain mengambil kira kerjasama berupa pandangan teknikal dengan Jabatan Pertanian Pahang dan pemain industri perkebunan (durian) di negeri ini.
"Perkara ini pada amnya telah dipersetujui oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan ahli Exco yang komited untuk memastikan pekebun dan pengeluar durian di negeri ini terus memainkan peranan proaktif meningkatkan hasil serta mencongak peluang yang lebih luas untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyerahan Insentif Permula Nurseri Durian dan Model Sistem Pengairan Durian yang disertai seramai 60 peserta dan pekebun mukim Budu dan mukim Tanjung Besar di Lubuk Hik, Budu di sini, pada Selasa.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom.
Sempena majlis tersebut, Mohd Soffi menyaksikan ikrar dan tandatangan wakil pekebun Kampung Lubuk Hik dan Kampung Terap melaksanakan projek durian premium kampung serta menyampaikan bantuan peralatan pertanian daripada Jabatan Pertanian Pahang.
Mohd Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, LDP menerusi Jabatan Pertanian akan memberikan tumpuan projek tanaman benih termasuk cantuman baka terbaik, pengurusan tanaman, pengeluaran durian serta kriteria harga supaya dapat menembusi pasaran luar sekali gus meningkatkan lagi jumlah permintaan sepanjang musim.
"Jabatan Pertanian dengan kerjasama beberapa agensi lain dan pemain sektor ini akan memastikan tanaman klon yang bermutu tinggi, pemantauan pengurusan dan teknikal di ladang dan kebun serta jaminan kualiti
berasaskan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).
"Pada peringkat ini, fokus utama LDP antaranya memastikan pekebun menanam klon yang bermutu tinggi terutama pengusah dan pekebun kecil bukan sahaja durian Musang King, IOI dan baka luar, malahan turut menggalakkan durian premium tempatan," katanya.
Beliau turut menjelaskan, Jabatan Pertanian Pahang kini sedang berusaha menggalakkan lebih banyak tanaman dan pengeluaran durian premium dari cantuman klon durian kampung dengan memfokuskan pekebun di Raub, Lipis, Jerantut dan Bentong.
"Sehingga ini cuma terdapat enam jenis (klon) premium durian kampung sejak 2019 menerusi usaha pekebun di Jerantut, Lipis dan Raub dikenal pasti menerusi hasil pertandingan peringkat daerah dan negeri yang sudah dikenali serta memenuhi permintaan ramai pelanggan," ujarnya.
Jelasnya, jumlah baka premium durian kampung masih kecil dan Jabatan Pertanian Pahang sedang menggiatkan usaha menerusi pendedahan kursus cantuman, pengurusan kebun dan buah untuk jaminan bukan sahaja mengisi pasaran tempatan malahan mampu melepasi peringkat antarabangsa.