'Pagi bersih, malam ibarat tong sampah' - penduduk Flat San Peng
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 19, 2018 19:58 MYT
Januari 19, 2018 19:58 MYT
Benarkah budaya tidak beradab hanya berlaku di blok Projek Perumahan Rakyat (PPR)?
Mungkinkah tragedi yang membawa kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, susulan kerusi pejabat yang dipercayai dicampak dari tingkat atas PPR Sri Pantai, Pantai Dalam pada Selasa boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat tentang faktor keselamatan?
Persoalan ini subjektif. Etika hidup dalam kawasan padat seperti di PPR perlu menjadi tanggungjawab bersama setiap penduduk.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa PPR di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng hari ini mendapati blok di kawasan perumahan itu bersih.
Pertemuan singkat dengan beberapa orang penduduk di situ mendedahkan senario berbeza.
Siang lain, malam pula berlainan ceritanya.
Pemantau Pemasaran, Abdul Razak Osman berkata, kerja pembersihan yang telah dilakukan beberapa tahun ini sudah memadai namun, sikap segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab telah menambah beban kerja pembersihan.
“Penduduk flat yang tiada sivik yang suka mencampak sampah dari atas itu adalah punca masalah. Walaupun kerja pembersihan yang baik, sikap penghuni ini yang suka menambah sampah,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Selangor, Zaimi Shamsuri mengakui premis flat itu bersih hanya pada waktu tertentu.
“Kalau kita tengok waktu pagi, memang semuanya bersih. Kerana kerja pembersihan telah dilakukan. Namun, menjelang malam apabila pekerja telah tamat waktu bekerja, penduduk mula mencampak dan mengumpul sampah.”
Bukan hanya sampah yang dicampak dari tingkat atas menjadi isu utama penduduk di sini, malah penyalahgunaan harta benda awam seperti lif turut menjadi isu.
Seorang suri rumah, Jayawati Md Isa berkata ada yang kencing di dalam lif dan itu telah menyebabkan lif berbau busuk.
“Bukan budak kecil yang kencing, tetapi orang dewasa. Setiap kali nak masuk lif terpaksa kami tutup hidung kerana bau sangat busuk.
“Bukan itu sahaja, butang lif untuk tunjuk aras juga telah dicabut sehinggakan tiada tanda aras lagi untuk ditekan. Nak atau tidak, lif itu kami terpaksa guna kerana tiada kemudahan lain selain tangga untuk naik ke tingkat atas,” ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tambah Jayawati, 62 tahun, beliau kesal apabila kemudahan awam lain yang disediakan oleh pihak kerajaan turut disalahgunakan.
“Sekarang ini, basikal yang disediakan kerajaan untuk memudahkan urusan telah disalahgunakan oleh remaja di sini. Mereka buat basikal itu jadi hak milik sehingga bawa naik ke rumah.”
Walaupun kempen kesedaran telah dilakukan, namun penduduk Flat Sri Selangor masih lagi melakukan perkara yang sama.
Kempen tersebut tidak mendatangkan kesan sebaliknya pemantauan dari segi undang-undang perlu diperketatkan, kata Zaimi.
Justeru, beliau mengharapkan agar apa yang telah terjadi dapat membuka mata pelbagai pihak agar kejadian sebegitu tidak berlaku lagi.
#Flat San Peng
#Jalan San Peng
#kerajaan
#Pantai Dalam
#PPR
#rakyat
#remaja
#tinjauan
#undang-undang