Pagi anda tidak lagi sunyi, KJ sah jadi 'DJ'
Hasimi Muhamad
Februari 9, 2023 15:22 MYT
Februari 9, 2023 15:22 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas 'berehat seketika' daripada dunia politik, Khairy Jamaluddin kini menerima tawaran baharu sebagai penyampai radio.
Bekas Menteri Kesihatan itu akan mula bertugas pada 15 Februari depan sebagai penyampai Bekpes Hot di stesen radio, Hot FM, bergandingan dengan Fara Fauzana; Johan dan AG.
Media Prima Audio dalam satu kenyataan memaklumkan, pengesahan tersebut turut dibuat sendiri oleh Khairy atau lebih popular dengan panggilan KJ menerusi segmen Bekpes Hot hari ini.
"Minggu lalu, tawaran terbuka oleh Hot FM kepada KJ dibuat menerusi surat terbuka di laman Instagram @hotfm976 itu membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.
"Bertepatan dengan tagline stesen, Yang Hangat dan Terbaik, kehadiran KJ (Khairy) bersama dengan tonggak utama Bekpes Hot pastinya akan memberikan suntikan baharu buat Hot FM dan warna yang lebih menarik untuk segmen tersebut," demikian menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran berkata, peluang tersebut diambil terus oleh Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.
Menurut beliau, pelantikan bekas Ahli Parlimen Rembau itu diharap akan memberikan impak lebih baik kepada Hot FM, sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu.
“KJ bukan sahaja seorang ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau merupakan pempengaruh yang mempunyai impak yang besar buat rakyat Malaysia.
"Kehadiran KJ bukan hanya akan memberikan sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi juga ia merupakan dimensi baharu untuk lanskap radio negara
“Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan, juga mampu memberikan aura positif kepada pendengar," kata Nazri.
Mengenai pengesahan mengenai kehadiran KJ di Bekpes Hot pula, Pengarah Rangkaian Kandungan Hot FM, Shah Hayatudin berkata, perbincangan sedang giat dilakukan bersama bekas Ketua Pemuda UMNO itu untuk menampilkan pengisian hebat untuk pendengar setia Hot FM dan pengikut KJ sendiri.
“KJ sendiri mempunyai idea beliau untuk mewarnakan lagi segmen Bekpes Hot, jadi para pendengar perlu dengarkan beliau bersama Johan, Fara Fauzana dan AG bermula 15 Februari nanti," tambah beliau.
Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memecat Khairy disebabkan pelanggaran disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Susulan pemecetan tersebut, Khairy 'dilamar' beberapa pihak termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi bayangan menawarkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta'zim (JDT).