Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sistem itu juga membolehkan kerajaan menjaya program khusus untuk memajukan ekonomi kumpulan pertengahan dengan lebih pantas.
“Kita mahu supaya kemakmuran negara ini bukan semata-mata bermaksud bantuan hanya perlu diberi kepada kumpulan miskin.
“Kita juga perlu bantu mereka yang berada dalam kumpulan pertengahan dan tinggi supaya mereka lebih pantas maju ke hadapan seterusnya, menentukan program yang mampu meningkatkan nilai ekonomi serta kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
PADU mahu bantu kumpulan pertengahan capai kemajuan ekonomi lebih pantas - Ketua Perangkawan
Tambah Mohd Uzir, pungutan data melalui sistem PADU tidak sama dengan pungutan data yang pernah dilakukan oleh mana-mana agensi sebelum ini.
Jelasnya, PADU mengintegrasikan data-data yang terkumpul bagi memboleh kerajaan memahami lebih mendalam mengenai profil ekonomi seseorang individu.
“PADU ini bukan satu proses pungutan data seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. PADU ini berbeza dan akan memberi kesan kepada semua orang, bukan sahaja kepada yang memerlukan bantuan.
“PADU juga membolehkan kerajaan lebih memahami profil secara keseluruhan. Contohnya, sama ada satu program yang dilaksanakan memberi kesan kepada golongan tertentu sahaja,” ujarnya.
Pada Isnin Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan PADU menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam kadar pendaftaran sepanjang minggu lepas.
Beliau berkata setakat 11:59 malam pada 24 Mac, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta daripada 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac.
Tempoh pendaftaran ke dalam sistam PADU akan berakhir 31 Mac ini.
Agenda AWANI: Daftar PADU, manfaat untuk semua