PADU: Lebih 500,000 mendaftar, Selangor rekod pendaftaran tertinggi

Ridauddin Daud
Januari 4, 2024 18:52 MYT
Dua hari selepas dilancarkan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) merekodkan jumlah yang tinggi dalam kalangan penduduk bandar. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Dua hari selepas dilancarkan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) merekodkan jumlah yang tinggi dalam kalangan penduduk bandar.
Menurutnya, setakat jam 4 petang pada Khamis, seramai 516,168 rakyat Malaysia telah mendaftar dalam sistem itu dengan 261,158 daripadanya sudah selesai proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).
Daripada jumlah itu, pendaftaran paling tinggi direkodkan melibatkan penduduk di Selangor.
Tambah beliau, selepas dua hari, masalah utama melibatkan sistem itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan beliau yakin, pendaftaran PADU akan terus meningkat selepas 48 jam.
“Selepas 48 jam pertama, kita akan melepasi 600,000 pendaftaran. Tumpuan pasukan PADU adalah untuk mengunjurkan dan memahami pola pendaftaran untuk seminggu dan dua minggu akan datang.
“Ia adalah untuk kita menangani risiko keciciran kerana kalau kita lihat, kami sudah mula memberi maklumat pecahan pendaftaran mengikut negeri.
“Sudah tentu yang paling banyak mendaftar adalah di kawasan bandar, paling tinggi Selangor. Kita beranggapan perkara ini akan berterusan.
“Dengan pengunjuran pola pendaftaran itu, ia akan membantu pasukan PADU untuk menggerakkan ‘flying squad’ dan memastikan pendaftaran itu sekata seluruh Malaysia,” katanya.
Melihat perkembangan itu, Rafizi mengakui beliau gembira dengan situasi itu apatah lagi selepas mengambil kira lebih 200,000 pendaftaran dalam masa sehari.
Tambahnya, jumlah itu sebenarnya sudah dijangka, berdasarkan rekod pendaftaran melibatkan sistem kerajaan sebelum ini.
“Ini sudah dijangka, sebab kita melihat kepada akses kepada aplikasi kerajaan sebelum ini…bila buka pendaftaran dan sebagainya.
“Kita perlukan data daripada rekod itu untuk tentukan ‘maximum bandwidth’ yang kita perlu untuk kita bersiap sedia awal-awal.
“Rekod, sebelum ini, akses ke sistem biasanya 500,000 sehari. Semalam, akses ke sistem PADU melepasi 700,000, yang daftar sekitar 200,000 orang. Kalau ikut jangkaan, memang mengikut perancangan.
“Tapi kita juga sedia maklum, angka itu menaik pada awal-awal dan kemudian akan menurun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sidang Media Pasca Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di Putrajaya pada Khamis.
#Sistem Pangkalan Data Utama #PADU #Rafizi Ramli #rakyat Malaysia #pendaftaran
;