PADU: Kerajaan perlu lebih fokus mengenai cara untuk mempertingkatkan keyakinan - Pakar
Pia Ernadya
Mac 28, 2024 16:00 MYT
Mac 28, 2024 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi Malaysia perlu lebih fokus mengenai cara untuk mempertingkatkan keyakinan dan kepercayaan penuh dalam kalangan pengguna untuk memastikan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berjaya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer, Fakulti Inovasi & Teknologi, Taylor’s University, Prof Madya Datuk Husin Jazri berpendapat, bahawa kementerian yang mempunyai punca kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab ini perlu melihat strategi pelaksanaan PADU kepada dua bahagian.
“Yang pertama, adalah bagaimana cara untuk membina dan menambah keyakinan kumpulan sasaran kepada sistem ini dan yang kedua, adalah dari segi aspek teknikal.
“Bagaimana kumpulan profesional dan juga yang mahir dalam bidang IT mempunyai keyakinan bahawa sistem prasarana ini secara keseluruhannya dapat diuruskan dengan cara yang profesional dan tidak mudah dibolos dan dikompromikan oleh mana-mana pihak luar negara ataupun dalam negara,” katanya ketika diwawancara dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan kebaikan projek PADU ini, namun menurutnya, masih ada majoriti masyarakat di luar sana yang mempersoalkan kesahihan sistem ini.
Tambahnya, salah satu cara untuk menarik perhatian pengguna adalah dengan menjelaskan ‘carrot’ ataupun insentif yang ada sebelum pihak berkenaan mengumpul data pengguna.
“Bukan kita (kerajaan) minta data itu dikumpulkan (terlebih) dahulu, kita perlu jelaskan apakah carrot yang ada, apakah insentif yang ingin diberi?
“Jadi, ia memberikan satu hala tuju kenapa perlunya saya sebagai rakyat atau sesiapa sahaja mendaftar dengan PADU dan ada habuannya yang ingin dicapai.
“Jadi, ianya akan melahirkan satu pengumpulan data dalam bentuk tujuan yang jelas kenapa data itu perlu dikumpulkan,” katanya lagi.
Dalam nada yang sama, Husin berkata bahawa penjelasan tentang kecekapan sistem PADU itu tidak patut digalas oleh menteri itu semata-mata.
“Bagi saya peranan itu boleh didelegasikan kepada pengawai teknikal di kementerian untuk menerangkan perkara-perkara itu,” jelasnya lagi.