Paderi OKU warga Korea dituduh cabul dua lelaki OKU
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 18, 2020 12:04 MYT
Disember 18, 2020 12:04 MYT
SEBERANG PERAI: Seorang paderi orang kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak warga Korea dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua lelaki yang juga OKU pada 2013 dan 2017.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ketiadaan jurubahasa Korea dan jurubahasa isyarat antarabangsa bagi membaca pertuduhan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Jee Jong Hoon, 54, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan memeluk, mencium dan menggeselkan kemaluannya terhadap dua lelaki yang kini berusia 28 dan 27 tahun dengan niat mencabul kehormatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12.20 tengah malam pada Oktober 2013 dan 11 malam hingga 1 pagi pada Julai 2017.
Jong Hoon didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di tingkat 11, Apartmen Seri Cemerlang, Kampung Paya, Butterworth.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam G. Shanmugam dan Adlin Farhana.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta dua orang penjamin.
Mahkamah menetapkan 18 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu pihak peguam bela menyediakan jurubahasa isyarat antarabangsa dari Istana Kehakiman, Putrajaya.