Paddy Abd Halim dilantik Ketua Pengarah Kastam baharu - MOF

Bernama
April 2, 2019 11:42 MYT
Paddy pernah bertugas di beberapa cawangan dan bahagian di JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ibu pejabat sebelum dilantik Pengarah, Bahagian Pengurusan Pematuhan pada 2011. --fotoBERNAMA/Fail
Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Paddy Abd Halim sebagai Ketua Pengarah Kastam baharu berkuat kuasa pada 1 April, 2019.
Beliau menggantikan Datuk Seri Subromaniam Tholasy yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 9 Mac, 2019.
Menurut kenyataan media kementerian itu hari ini, Paddy memulakan kerjaya sebagai Penguasa Kastam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Perak pada 1983.
Beliau juga pernah bertugas di beberapa cawangan dan bahagian di JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di ibu pejabat sebelum dilantik sebagai Pengarah, Bahagian Pengurusan Pematuhan pada 2011.
Pada 15 Julai, 2016, beliau dinaikkan pangkat ke Gred Utama B sebagai Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) dan seterusnya pada 1 Julai 2017 menggalas jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST).
"Kementerian Kewangan merakamkan setinggi penghargaan kepada Datuk Seri Subromaniam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang sebagai Ketua Pengarah Kastam terutamanya dalam memimpin JKDM ke arah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan jayanya."
-- BERNAMA
#kastam #Ketua Pengarah #Paddy Abd Halim #Subromaniam Tholasy
;