Padanlah pendingin hawa tak sejuk, ada ular sawa batik dalam kereta rupanya
Sinar Harian
November 9, 2018 16:55 MYT
November 9, 2018 16:55 MYT
Pendingin hawa kurang sejuk, sila bawa kereta ke Balai Bomba dengan segera.
Tindakan itu dilakukan Daniel Hakimi apabila mendapati pacuan empat rodanya tidak berfungsi sejak empat hari lalu, gara-gara pendingin hawa didakwa telah rosak.
Bagaimanapun, setelah melakukan pemeriksaan secara terperinci, dia mendapati seekor ular sawa batik bersembunyi di bahagian penapis pendingin hawa.
Dia memuat naik beberapa keping gambar di Facebooknya ketika operasi menyelamat ular sawa yang telah berada di bahagian penapis pendingin hawa sejak empat hari lalu di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam.
Katanya, berkemungkinan ular tersebut menyelinap masuk ke dalam pacuan empat roda ketika dia berada di hutan di Sik, Kedah.
Penularan gambar itu mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya mempersoalkan bagaimana ular berkenaan berada di bahagian tersebut.
Rata-rata netizen berkata adalah amat berbahaya sekiranya ular berkenaan boleh memasuki ke ruang penumpang tanpa disedari.