Padah ugut wartawan, lelaki didenda RM5,000

Bernama
Mac 3, 2020 18:12 MYT
Tertuduh didakwa mengugut untuk mencederakan Mohd Ishak Abdillah Ngah, 38, dalam laman Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) Januari lalu- Gambar hiasan
Seorang lelaki didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wartawan penyiaran TV3 melalui laman sosial Facebook pada Januari lalu.
Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas Wan Mohd Marzuki Wan Zaidi, 24, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut untuk mencederakan Mohd Ishak Abdillah Ngah, 38, dalam laman Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) antara pukul 10 pagi hingga 3.01 petang pada 1 Januari lalu.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu ekoran satu video liputan berita yang dibuat oleh mangsa mengenai isu ketiadaan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu yang dimuat naik dalam laman Facebook Buletin TV3.
Video liputan berita itu telah menjadi tular dan dikongsi di laman Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA
#Facebook #Gabungan Anak Terengganu #Kuala Terengganu #laman sosial #mahkamah #Tular #tv3 #ugut wartawan #ugutan jenayah #viral #wartawan
;