Padah tunggang motosikal nombor pendaftaran palsu, dua remaja ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Jun 17, 2020 08:34 MYT
Menerusi operasi yang dijalankan pegawai dan anggota penguatkuasa Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Setar, sebanyak 60 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. - Gambar fail
Padah menunggang motosikal dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu, dua remaja lelaki ditahan polis dalam satu operasi di Taman Bersatu, Kuala Kedah, malam tadi.
Kedua-dua remaja itu ditahan ketika menunggang motosikal di taman permainan kawasan itu kira-kira jam 11 malam, menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Mohd Redzuan Salleh.
Katanya, sebaik ditahan, polis trafik melakukan pemeriksaan dan mendapati motosikal Honda EX5 yang ditunggang remaja itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Kedua-dua remaja itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala motosikal mereka disita.
"Polis sedang menyiasat sama ada motosikal yang digunakan itu adalah motosikal curi atau sebaliknya," katanya.
Bagaimanapun, kata Mohd Redzuan, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menerusi operasi yang dijalankan pegawai dan anggota penguatkuasa Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, sebanyak 60 saman dikeluarkan.
Kes membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada insuran, mengubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran.
Sehubungan itu, Mohd Redzuan menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak mereka supaya tidak terjebak dengan aktiviti atau gejala tidak sihat ini yang akan menjejaskan masa depan anak muda.
Malah, katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka dalam usaha membanteras aktiviti lumba haram di daerah Kota Setar.
#Alor Setar #berlumba #curi #Kota Setar #Kuala Kedah #lesen memandu #lumba haram #lumba motosikal #Mohd Redzuan Salleh #motosikal #nombor pendaftaran palsu #operasi #polis trafik #remaja #saman #taman permainan
;