Padah salah guna media sosial, 11 lokasi diserbu

Kenyataan Media
Mac 23, 2019 17:11 MYT
Operasi serbuan dilakukan di beberapa negeri awal minggu ini dalam usaha mengekang penyalahgunaan media sosial di negara ini. -Gambar hiasan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan sokongan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan operasi serbuan di beberapa negeri awal minggu ini dalam usaha mengekang penyalahgunaan media sosial di negara ini.
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan MCMC, Datuk Mohd Shafie Harun, sebanyak 11 lokasi telah diserbu antaranya Putrajaya, Petaling Jaya di Selangor; Perai dan Simpang Ampat di Pulau Pinang; Kerteh dan Kuala Dungun di Terengganu; Pasir Puteh di Kelantan, Kluang dan Indahputra di Johor serta Bachang dan Masjid Tanah di Melaka.
Katanya, kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh suspek-suspek menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan-kandungan yang bersifat lucah seperti video seks, penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) yang jelik dan menghina, serta kandungan mengancam dengan niat untuk mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.
“Dalam operasi serbuan tersebut, rakaman percakapan turut diambil daripada suspek-suspek manakala beberapa peranti komunikasi, kad SIM, kad memori, komputer riba, dan hard-drive turut dirampas untuk siasatan lanjut.
"Tindakan ini susulan aduan yang diterima daripada mangsa mengenai kandungan yang dilarang,” jelasnya lagi.
Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi seseorang untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Shafie turut menggesa pengguna media sosial di negara ini untuk mempertingkat kawalan kendiri mereka ketika mengakses internet dan tidak menggunakannya sebagai platform untuk menyebarkan perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang kemarahan orang awam.
#MCMC #Mohd Shafie Harun #operasi serbuan #PDRM #penghantaran sistem pesanan ringkas #penyalahgunaan media sosial #video seks
;