Padah 'rem' ekzos bising, pelajar kena tolak motor 3.5km ke balai
Sinar Harian
Februari 20, 2024 15:00 MYT
Februari 20, 2024 15:00 MYT
HULU SELANGOR: Tindakan sekumpulan remaja menjadikan sebuah bangunan kosong di Jalan Kemboja, Bukit Sentosa dekat sini sebagai lokasi mempamerkan 'kehebatan' motosikal masing-masing membawa padah apabila lokasi terbabit diserbu pihak polis, pada Isnin.
Sebahagian remaja yang ditahan itu dipercayai merupakan pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Bukit Sentosa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, serbuan berkenaan dijalankan susulan aduan orang awam yang mendakwa kegiatan berkenaan mengganggu ketenteraman awam.
"Siasatan mendapati kesemua remaja terbabit akan berkumpul di kawasan bangunan kosong ini untuk 'rem' atau mengeluarkan bunyi bising ekzos motosikal masing-masing.
"Susulan itu, satu operasi dijalankan kira-kira jam 1.30 petang yang dijalankan sepasukan anggota polis dengan menjalankan serbuan di lokasi terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, pemeriksaan dijalankan ke atas semua motosikal terlibat mengesan pelbagai jenis kesalahan antaranya pengubahsuaian ekzos serta beberapa kesalahan lain.
"Selain itu, enam saman turut dikeluarkan atas kesalahan tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi.
"Semua remaja yang ditahan itu kemudiannya diarah menolak motosikal ke Balai Polis Bukit Sentosa dengan jarak kira-kira 3.5 kilometer," katanya.
Pada Isnin, tular video di laman sosial memaparkan sekumpulan remaja menolak motosikal masing-masing selepas ditahan polis kerana membuat bising. - Sinar Harian