Padah pukul isteri guna wayar pengecas telefon, penganggur dipenjara
Bernama
April 13, 2021 22:54 MYT
April 13, 2021 22:54 MYT
PETALING JAYA: Akibat memukul isteri menggunakan wayar pengecas telefon bimbit, seorang penganggur dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Pakistan, Mohamad Irfan, 28, yang mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang juga warga India, Gurpreet Kaur, 25, dengan cara memukul belakang badan wanita itu menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Jalan Bandar Puteri, Puchong, di sini, pada 11 malam, 25 September 2020 mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Irfan, yang sebelum ini bekerja sebagai pemasang kipas siling, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 September 2020.
Mengikut fakta kes, pada 26 September tahun lalu, isteri tertuduh membuat laporan polis apabila dia dikunci di luar rumah bersama anak lelaki mereka, selepas wanita itu dipukul di bahagian belakang badan dan kaki menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.
Lelaki itu kemudiannya ditahan oleh polis di tempat kejadian, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat memohon hukuman berat mengambil kira faktor kecederaan dialami mangsa serius namun peguam, Ammanjeet Singh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
– BERNAMA
#pukul isteri
#pengecas telefon
#penganggur
#dipenjara
#Mahkamah Majistret
#Petaling Jaya
#warga Pakistan
#warga india