Padah lari dari pusat serenti, dua pelatih dipenjara enam bulan
Adie Sufian Zulkefli
Mei 12, 2022 15:46 MYT
Mei 12, 2022 15:46 MYT
KANGAR: Dua pelatih yang melarikan diri dari Pusat Serenti Bukit Chabang, Padang Besar pada 7 Mei lalu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kangar hari ini.
Tertuduh, Mohd Zahir Saad, 44 dan Mohammad Hutomo Mandala Putra Mohd Sabaudin, 51, membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di dua kamar berbeza di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain dan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Mohd Zahir Saad yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Mohammad Hutomo Mandala Putra Mohd Sabaudin dari Ipoh, Perak dengan sengaja melarikan diri daripada tahanan di mana tertuduh ditahan dengan sah mengikut kesalahan Seksyen 17 Akta Dadah Berbahaya 1952 bersabit laporan Sungai Senam 3331/2021.
`
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 7 Mei lalu sekitar jam 4.30 petang di Pusat Serenti Bukit Chabang, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor S Mageswaran dan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala Mohd Zahir dan Muhammad Hutomo diwakili peguam, Norashikin Jamil dan Nor Herdawati Harun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Norashikin dan Nor Herdawati dalam rayuan mereka memohon satu hukuman penjara yang minimum kepada anak guam mereka memandangkan ini adalah kesalahan pertama yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.
Pada 7 Mei lalu, dua pelatih Pusat Serenti Bukit Chabang, Mohd Zahir Saad dan Mohammad Hutomo Mandala Putra Mohd Sabaudin didapati melarikan diri daripada pusat berkenaan dan kejadian hanya disedari oleh pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di pusat berkenaan sekitar pukul 4.30 petang selepas mendapati ketiadaan kedua-dua pelatih berkenaan.
Kedua-dua pelatih itu bagaimanapun berjaya ditahan semula oleh orang awam 48 jam selepas kehilangan mereka pada 9 Mei pukul 1 tengah hari di hadapan Kilang Gula Perlis Sdn Bhd, Chuping kira-kira 21 kilometer dari Pusat Serenti Bukit Chabang.