Padah jual pelitup muka mahal, dikompaun RM2,000

Bernama
Jun 2, 2020 08:29 MYT
KPDNHEP Perak mendapati, premis itu menjual pelitup muka N95 pada harga RM14 berbanding harga kawalan RM6. - Gambar hiasan
Sebuah premis perniagaan di Silibin sini dikenakan kompaun RM2,000 gara-gara menjual pelitup muka jenis N95 pada harga RM14 seunit, harga yang lebih sekali ganda mahal berbanding harga kawalan yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, V. Ravichandran berkata sepasukan empat pegawai bergegas untuk memeriksa premis berkenaan pada kira-kira pukul 12 tengah hari semalam sejurus selepas pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu.
"Hasil siasatan, kami mendapati premis ini menjual pelitup muka N95 pada harga RM14 berbanding harga kawalan RM6," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, premis berkenaan telah dikenakan kompaun RM2,000 kerana peniaga gagal mematuhi syarat dan melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 atas kesalahan menjual barangan harga terkawal tanpa mengikut harga yang ditentukan.
Katanya sebagai rekod, sepanjang tahun ini, KPDNHEP Perak telah menerima 703 aduan dan memeriksa 31,344 premis perniagaan berhubung pelbagai kesalahan mengenai urus niaga, yang membawa kepada tindakan terhadap 429 kes, melibatkan jumlah kompaun RM108,150 serta denda RM45,000.
-- BERNAMA
#aduan #barangan harga terkawal #harga kawalan #kompaun #KPDNHEP #mahal #N95 #pelitup muka #peniaga #Perak #Premis perniagaan #Silibin #V Ravichandran
;