Padah hantar gambar lucah, peniaga didenda RM8,000

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 24, 2021 17:42 MYT
Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Chang Yoon Siong, 31, selepas dia mengaku bersalah. - Gambar/ Astro AWANI
BUTTERWORTH: Padah menghantar gambar lucah kepada seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp empat tahun lalu, seorang peniaga didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.
Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Chang Yoon Siong, 31, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan menghantar lima gambar lucah yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki dari Puchong, Selangor itu menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah ke nombor telefon seorang wanita berusia 46 tahun dengan niat untuk menyakitkan hatinya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu menerusi lima kiriman WhatsApp dengan gambar sebanyak dua kali pada jam 1.11 pagi dan tiga kali pada jam 5.32 petang pada 8 Januari 2017 ketika wanita itu di rumahnya di Taman Aman Jaya, Bukit Mertajam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#mahkamah #hantar gambar lucah #peniaga didenda #WhatsApp #Mahkamah Sesyen #Butterworth #hakim #peguam #Tertuduh #peniaga #padah #lucah #menyakitkan hati #wanita
;