Padah guna 'strobe lamp', pemandu kereta disaman

Sinar Harian
Jun 16, 2023 12:25 MYT
Polis mengesan satu klip video berdurasi tiga saat yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan lampu mata arah. - Gambar/ Media sosial
BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu kereta dikenakan saman kerana memasang lampu mata arah (strobe lamp) pada kenderaannya.
Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu disaman mengikut Peraturan 138 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 170/59 kerana mengubahsuai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya mengesan satu klip video berdurasi tiga saat yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan lampu mata arah.
Menurutnya, video pendek itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Thai Khor pada jam 4.20 petang, Khamis dan mendapat 123 tanda suka, 91 komen dan 5 perkongsian.
"Kereta tersebut dikesan ketika berada di Kilometer (KM) 136.8 Lebuh Raya Utara Selatan di kawasan SPT ketika video tersebut dirakam. Susulan daripada itu, kita berjaya menahan lelaki terbabit pada jam 6.18 petang hari yang sama.
"Kita merampas satu set lampu mata arah yang digunakan pada masa kejadian. Pemandu tersebut disaman kerana kesalahan mengubahsuai kenderaan tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Cheng San berkata, polis melarang sama sekali mana-mana pemilik kenderaan mengubahsuai dan menggunakan lampu mata arah pada kenderaan persendirian kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan. - Sinar Harian
#video tular #strobe lamp #PDRM #pulau pinang
;