Padah fitnah polis trafik, lelaki direman
Adie Sufian Zulkefli
Februari 6, 2023 18:15 MYT
Februari 6, 2023 18:15 MYT
KANGAR: Seorang lelaki direman tiga hari kerana membuat hantaran video fitnah dan aib terhadap anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas di Jalan Kangar-Alor Setar pada Sabtu lalu.
Penahanan lelaki berusia 39 tahun yang juga penghantar baja Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) itu dibuat di kediamannya di Jitra pada hari yang sama selepas hantaran video itu tular di aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, video klip berdurasi 35 saat itu memaparkan tiga anggota polis trafik sedang melakukan pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran lampu isyarat Simpang Empat, Perlis.
“Video terbabit jelas kelihatan wajah ketiga-tiga orang anggota trafik itu semasa sedang membuat pemeriksaan serta sedang mengeluarkan saman ke atas sebuah lori milik suspek.
"Saman dikeluarkan terhadap suspek atas kesalahan tiada lesen memandu, menampal sesuatu pada cermin, mengubah suai ekzos kenderaan selain menggunakan lampu hadapan yang silau," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh anggota polis trafik itu, suspek bertindak memuat naik video yang mempunyai unsur provokasi dan fitnah.
Video yang ditularkan itu juga boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat dan menjatuhkan imej polis di mata masyarakat oleh kerana terdapat beberapa komen negatif berkenaan video itu yang menjatuhkan imej serta maruah pegawai polis yang disiarkan di dalam video berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.