Padah dera anjing, ibu tunggal dijatuhi hukuman

Amirah Shariffudin
Mei 3, 2019 16:01 MYT
Seorang ibu tunggal terpaksa membayar denda sebanyak RM4,000 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Khamis.
Padah mendera dua ekor anjing miliknya, seorang ibu tunggal terpaksa membayar denda sebanyak RM4,000 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lai Woan Yong, 37 tahun yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh turut bertindak agresif apabila dirakam mengasari jurukamera yang membuat liputan sebelum meninggalkan pekarangan kompleks mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik sepasang anjing jantan dan betina jenis kacukan masing-masing berwarna hitam serta coklat kehitaman didapati gagal melaksanakan tindakan wajar sehingga menyebabkan kesakitan serta penderitaan kedua-dua ekor anjing tersebut.
Tindakan itu dilakukan tertuduh sekitar jam 10.20 pagi di sebuah rumah di Taman Merdeka, Hang Tuah Jaya pada 28 Jun 2018.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan oleh pegawai veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka di kediaman tertuduh mendapati kedua-dua ekor haiwan itu terlalu kurus dan mempunyai jangkitan penyakit kulit selain kesan bengkak pada mata sebelah kiri anjing betina.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50, 000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang diwakili peguam Sia Sin Yee merayu hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan terpaksa menanggung bebanan hutang perusahaan perabot miliknya, selain menyara ayah yang uzur serta seorang anak perempuan berusia 10 tahun seorang diri selepas ditinggalkan suaminya.
Pegawai pendakwa JPV Melaka, Raja Mazlan Raja Mamat bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan memohon kos rawatan kedua-dua haiwan malang itu berjumlah RM721 yang diberikan sepanjang di bawah jagaan pihaknya dibayar semula kepada jabatan.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4, 000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.
Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar kos rawatan haiwan tersebut sebanyak RM721 kepada JPV dan kedua-dua anjing itu dipulangkan semula kepada tertuduh.
#anjing #ayer keroh #dera #didenda kerana dera anjing #Hukuman #Jabatan Perkhidmatan Veterinar #Lai Woan Yong #mahkamah #Mahkamah Sesyen #Norma Ismail #seorang ibu tunggal
;