Padah curi kuali tembaga jiran, lelaki dihukum penjara!

Sharom Abu Bakar
Ogos 20, 2019 18:03 MYT
Kuali tembaga yang dianggar berharga RM1,200 dijual oleh tertuduh dengan harga RM200 kepada seorang pembeli. - Foto Astro AWANI
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mencuri tiga biji kuali tembaga milik jirannya.
Tertuduh, Zainal Ramli, 36 tahun, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Abd Hayyi Salim.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi.
Perbuatan itu dilakukan pada 9 Ogos lalu di sebuah rumah di Kampung Batin, Seberang Takir di Kuala Nerus.
Kuali tembaga yang dianggar berharga RM1,200 dijual oleh tertuduh dengan harga RM200 kepada seorang pembeli.
Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iatu pada 14 Ogos lalu.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa polis Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.
#curi kuali jiran #Kuala Terengganu #kuali tembaga #mahkamah #Mahkamah Majistret #penjara #polis #Zainal Ramli
;