Padah cermin kereta gelap tanpa kelulusan, nombor plat tidak ikut spesifikasi, JPJ Pahang keluar 64 saman

Mohd Zalani Md Atan
Mei 16, 2022 14:35 MYT
Antara kenderaan yang disaman oleh JPJ dalam ops Khas Nombor Pendaftaran dan Cermin Gelap di sekitar pusat Bandaraya Kuantan pada Ahad.
KUANTAN: Sebanyak 64 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bagi kesalahan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi di sekitar pusat bandaraya ini pada Ahad.
Menurut Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin, kesemua saman itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 73 kenderaan ketika menjalankan Ops Khas Nombor Pendaftaran dan Cermin Gelap oleh Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ Pahang.
"Daripada 64 notis saman, sebanyak 28 saman melibatkan kesalahan pemasangan cermin gelap tanpa kelulusan.
"Baki iaitu 36 notis saman lagi membantu penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menjelaskan, penggunaan cermin gelap tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius kerana ia boleh mengundang pelbagai bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Tambahnya, tahap ketelusan cahaya bagi cermin hadapan dan bahagian pemandu sesebuah kenderaan mestilah mengikut tahap yang dibenarkan.
"Pengguna cermin gelap boleh membahayakan penggunaan terutama pada waktu malam dan ketika cuaca buruk.
"Jadi, sebab itu kita minta pengguna menggunakan tahap ketelusan cermin mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” ujarnya
Dalam pada itu, Kamarul Iskandar berkata, mana-mana individu yang memperagakan nombor pendaftaran mengelirukan mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM20,000.
Jelasnya, mereka juga boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
#cermin kereta gelap #nombor plat #JPJ Pahang #64 saman
;