Padah buat aksi 'Superman', polis tahan tiga 'mat rempit'

Bernama
Jun 1, 2024 19:16 MYT
Tiga penunggang motosikal berusia 17 hingga 21 tahun yang ditahan. - Foto PDRM Pulau Pinang
BUTTERWORTH: Membuat aksi meniarap seperti 'Superman' membawa padah kepada tiga lelaki apabila ditahan Polis Pulau Pinang dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini hari ini.
Polis Pulau Pinang dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan tiga penunggang motosikal berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Semasa operasi itu, pihak polis mendapati kumpulan motosikal tersebut melakukan aksi bersaing sesama sendiri, meniarap seperti 'Superman', zig-zag dan melawan arus yang mana aksi tersebut membahayakan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
"Operasi itu dijalankan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Pulau Pinang bermula jam 1 pagi hingga 6 pagi di kawasan "hotspot" kumpulan mat rempit atau samseng jalanan berlumba," menurut hantaran tersebut.
Dalam operasi itu, polis turut menyita tiga buah motosikal mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengeluarkan sebanyak 21 saman kerana pelbagai kesalahan jalan raya.
-- BERNAMA
#aksi superman #mat rempit #polis pulau pinang #Op Samseng Jalanan
;