Padah berlumba, dua maut, lima parah berlanggar sesama sendiri
Adie Sufian Zulkefli
September 18, 2022 12:40 MYT
September 18, 2022 12:40 MYT
SUNGAI PETANI: Dua lelaki maut manakala lima lagi cedera parah selepas motosikal mereka tunggangi berlanggar sesama sendiri di Kilometer 102.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi Ahad.
Dalam kejadian jam 2.35 pagi itu, ketujuh-tujuh mangsa cedera parah selepas tercampak di atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata ketika kejadian kumpulan remaja itu sedang berlumba di atas lebuh raya dari arah utara ke selatan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila ketujuh-tujuh buah motosikal yang ditunggang secara beriringan pada kelajuan yang tinggi menyebabkan hilang kawalan lalu berlanggar sesama sendiri.
“Akibat kemalangan, mangsa berusia 15 dan seorang lagi berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima yang lain mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Zaidy, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Lima mangsa yang parah berusia di antara 17 dan 21 tahun turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.