Padah berlagak samseng dengan polis, lebih 20 warga China diberkas

Astro Awani
November 12, 2017 11:30 MYT
anggota polis telah melepaskan empat das tembakan amaran untuk mempertahankan diri. - Foto Astro AWANI
Lagak sekumpulan tahi judi warga asing yang cuba menunjuk samseng apabila diperiksa polis berakhir dengan mereka diberkas.
Kejadian dipercayai berlaku di depan sebuah rumah berhampiran Jalan Abraham, Pudu di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah berkata tujuh anggota polis berpakaian preman yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum itu terserempak dengan sekumpulan pekerja kontrak yang leka bertaruh di premis berkenaan.
Namun ketika cuba diperiksa kumpulan yang dipercayai seramai 20 hingga 30 orang warga China itu tiba-tiba bertindak agresif dan tidak terkawal.
Akibatnya anggota polis telah melepaskan empat das tembakan amaran untuk mempertahankan diri.
Empat buah unit MPV polis turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu anggota berkenaan.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Polis turut menahan sekumpulan lelaki warga China di beberapa rumah kongsi berdekatan.
Kes disiasat mengikut seksyen 147 dan 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka.
#China #jenayah #lelaki #polis #tembakan #warga asing
;