Padah 'bantai' polis dengan penyapu, wanita didenda RM3,000
Shuhada Abdul Kadir
Mei 13, 2022 14:39 MYT
Mei 13, 2022 14:39 MYT
AYER KEROH: Padah memukul seorang anggota polis menggunakan sebatang penyapu, seorang wanita sudahnya didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Tertuduh, Hasrina Osman, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati sengaja menyebabkan kecederaan kepada Koperal Muhammad Taufik Sayutin ketika anggota polis itu melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam yang sah.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10.45 malam di Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian tertuduh telah mengamuk dengan memecahkan barang sebelum meminta abangnya menghantarnya ke rumah ibu mereka di Paya Jaras.
Abang tertuduh yang gagal mengawal keadaan kemudian telah menghubungi Balai Polis Bandar Hilir untuk mendapatkan bantuan dan mangsa merupakan petugas yang hadir ke lokasi kejadian.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa'ari memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius kerana ia melibatkan penjawat awam.
Tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman kebangsaan bagaimanapun memohon hukuman wanita itu diringankan dengan alasan tertuduh telah menyesali perbuatannya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara, jika gagal bayar.