Padah bakar rumah sendiri, buruh kritikal, rakan maut
Radhi Muslim
April 19, 2021 16:43 MYT
April 19, 2021 16:43 MYT
BELURAN: Tindakan seorang lelaki dipercayai membakar rumah kongsi dihuninya memakan diri selepas dia terbakar bersama seorang lagi penghuni di Ladang Ribu Bonus, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.02 tengah hari itu, suspek yang berusia 34 tahun kritikal, manakala rakannya yang berusia 29 tahun maut akibat melecur teruk di seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan daripada penolong pengurus ladang berkaitan dengan kebakaran di rumah kongsi berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati, seorang pekerja ladang warga Indonesia dipercayai telah menyimbah petrol di ruang tamu rumah berkenaan sebelum menyalakan api.
"Api kemudian merebak di dalam rumah kongsi berkenaan dan membakar kedua-dua suspek dan rakannya yang berada di dalam rumah itu.
"Kejadian dilihat oleh seorang saksi iaitu isteri kepada mangsa yang meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Kasim berkata, pekerja ladang yang berada berhampiran telah berjaya memadamkan api daripada merebak, sebelum kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.
"Setelah menjalani rawatan rakan suspek disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam (Ahad) manakala suspek dalam keadaan kritikal.
"Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
#kebakaran
#buruh ladang
#bakar rumah sendiri
#melecur teruk
#maut
#kritikal
#cedera
#rakan maut
#Ladang Ribu Bonus
#Beluran