Padah acu pisau, ceroboh rumah warga emas

Sinar Harian
Januari 3, 2024 16:17 MYT
Shahrum (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu. - Foto Sinar Harian
MELAKA : Seorang lelaki dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Masjitret di sini, pada Rabu selepas mengaku salah mengacu pisau dan menceroboh masuk rumah seorang warga emas, 27 Disember lalu.
Majistret Nabilah Nizam memutuskan hukuman itu selepas tertuduh Shahrum Baba, 50, membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada Sama Osman, 75, dengan mengacukan pisau pemotong daging.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh rumah mangsa yang sama tanpa kebenaran dan pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Semua tindakan tersebut dilakukan di Batu 7, 1/2 Bukit Rambai di sini, pada jam 3.45 petang, 27 Disember tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk pemenjaraan yang minimum kerana telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 27 Disember 2023.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#rompak warga emas #acu pisau #Bukit Rambai #ceroboh #penganggur dipenjara
;