Pacuan empat roda rempuh ambulans, tiga cedera
Rudi Affendi Khalik
Mei 19, 2022 23:22 MYT
Mei 19, 2022 23:22 MYT
KUCHING: Tiga individu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan ambulans swasta dan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 19.5, Jalan Kuching-Bau di sini, pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Bingkok John berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 9.15 pagi.
"Ketika kejadian, dipercayai ambulans jenis Toyota Hiace milik Lifecare Kuching Society yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun sedang bergerak dari Lundu menuju ke Kuching.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 58 tahun dipercayai tiba-tiba memasuki laluan ambulans terbabit.
"Pemandu ambulans cuba mengelak, namun pertembungan tidak dapat dielakkan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Bingkok berkata, ambulans terbabit turut membawa seorang penumpang dan kedua-dua mereka cedera ringan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.