Pacuan empat roda, lori langgar kereta api dekat KKIA

Abdul Hafiz Mustadi
Ogos 18, 2022 11:40 MYT
Kejadian yang berlaku sekitar jam 3.00 petang itu membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo dan sebuah lori enam tan. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Dua kenderaan merempuh sebuah kereta api milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, kejadian sekitar jam 3.00 petang itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo dan sebuah lori enam tan.
“Kedua-dua kenderaan berkenaan bergerak dari arah Luyang menuju ke KKIA.
“Kemalangan tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” kata Zaidi ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Zaidi, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Kita sedang menyiasat bagaimana kemalangan ini berlaku dan siapa punca kecuaian sehingga menyebabkan kemalangan," tambah Zaidi.
Kes disiasat kes mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
#dilanggar keretapi #Jabatan Kereta Api Negeri Sabah #Kota Kinabalu #KKIA